Pusat Sumber SMK Rapat Setia |
2013 |
Hari ini, Selasa 25 Disember 2012 menandakan minggu akhir bagi permulaan sesi
persekolahan 2013 . PSSSMKRS mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat
datang kepada semua pelajar, khususnya yang baru memasuki alam
persekolahan menengah tingkatan satu. Seterusnya ucapan syabas dan
tahniah saya tujukan kepada pelajar tingkatan tiga yang baru sahaja
menerima keputusan peperiksaan PMR 2012 yang mencatatkan 7 orang pelajar cemerlang semua A.
Sesungguhnya perjuangan dan
perjalanan kalian dalam proses pembelajaran masih jauh. Jika habis air
tujuh lautan digunakan sebagai tinta untuk menulis segala butiran ilmu
pengetahuan, nescaya masih belum mencukupi. Kita semua hendaklah
menyedari bahawa dalam kesempatan usia yang cuma sebentar di dunia yang
fana ini, keupayaan pemerolehan ilmu seseorang sangatlah terhad.
Justeru, kita hendaklah
menghormati para ilmuan dalam segala bidang, termasuk guru-guru di
sekolah. Walaupun maklumat boleh diakses dengan mudah di hujung jari,
iaitu sekadar menekan papan kekunci komputer, pembelajaran di bilik
darjah masih tidak boleh diganti dengan cara lain yang lebih berkesan.
Bilik darjah ialah dunia kecil para pelajar untuk menerokai, menyaring
dan mengorganisasi ilmu yang telah disusun berdasarkan keperluan
kurikulum, nilai, dan aplikasi kehidupan di dunia sebenar.
PSSSMKRS ingin mengajak para pelajar
di SMK Rapat Setia ini supaya berfikir sejenak tentang tujuan kalian
datang semula ke sekolah awal-awal pagi sebegini. Mengapakah kalian
sanggup bersusah payah bangun pagi membersihkan diri semata-mata untuk
berkejar ke sekolah? Apakah yang menarik di sekolah kita?
Kalian bisa sahaja memilih untuk
melayan mata, iaitu tidur semahu-mahunya, atau bersengkang mata di
hadapan skrin televisyen dan komputer. Hakikatnya para pelajar berkorban
meninggalkan keselesaan di rumah masing-masing, sebaliknya
bersesak-sesak di bilik darjah, di kantin dan di pusat sumber sekolah.
Berbaloikah pengorbanan kalian?
Sebagai pelajar yang bijak
laksana, kalian pasti telah menetapkan objektif yang jelas sebelum hadir
ke sekolah saban hari. Alangkah ruginya jika setelah sehari suntuk di
sekolah, kalian balik dengan tangan kosong ke rumah. Sebarang bentuk
pembaziran bakal merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, pembayar
cukai dan negara.
Sebenarnya pembelajaran tidak terbatas kepada penguasaan isi pelajaran semata-mata. Pembelajaran tersembunyi (hidden curriculum)
dari segi etika, sahsiah, sikap, keperibadian, perawakan, penampilan,
kerja berpasukan dan keberanian menyatakan pendapat ialah antara
elemen-elemen modal insan utama yang diterapkan dalam sesi pembelajaran.
penggemblengan bakat para pelajar juga sangat dititikberatkan di
sekolah.
Pelajar SMK Rapat Setia yang dimuliakan,
Segala aktiviti yang
dirancangkan oleh pihak sekolah akhirnya menjurus kepada pembelajaran.
Maka, di samping mengikuti pembelajaran formal di bilik darjah, pelajar
akan dibimbing menyertai kegiatan koakademik, kokurikulum dan sukan.
Pelajar berpeluang mengasah bakat kepimpinan, interaksi, protokol dan
meraih pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.
Pencapaian sesebuah sekolah
sangat bergantung kepada penglibatan pelajar segala bidang yang PSSSMKRS nyatakan sebentar tadi. Bagi menjayakan semua aktiviti sekolah, PSSSMKRS menyeru supaya semua pelajar, tanpa kecuali, memberikan kerjasama dan
sokongan yang tidak berbelah bahagi agar kita semua berjaya menikmati
hasil pembelajaran yang diharapkan.Sebagai contoh , SMK Rapat Setia telah mencipta rekod apabila seramai 20 orang pelajar berjaya memperoleh keputusan semua A dalam PMR 2011 tetapi tidak bagi tahun ini yang berjaya memperoleh semua A dalam PMR 2012 cuma 7 orang tetapi tidak bermakna kita boleh berusaha lagi dengan lebih gigih supaya ramai pelajar boleh mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR 2013 dan SPM 2013 Tunjukkan tahap disiplin yang
tertinggi dalam penyertaan semua aktiviti yang bakal dilaksanakan
sepanjang tahun 2013 kelak, Insya-Allah.
Terima kasih atas perhatian
pelajar. PSSSMKRS akhiri ucapan ini dengan Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ketua Pengurus Laman Blog Pusat Sumber SMK Rapat Setia , GPM PSSSMKRS.
Twitter : www.twitter.com/PSSSMKRS
Facebook : www.facebook.com/PSSSMKRS
No comments:
Post a Comment